Tuesday, May 27, 2014

Jom Derma Darah Ungu UiTM di Hatiku



Penjelasan berkenaan 'darah ungu'.

Sahabat yang budiman, ada beberapa pihak yang bertanyakan, apa itu darah ungu? Ada apa dengan ‪#‎JomDermaDarahUngu‬?

Jangan malu bertanya, kelak tidak sesat jalan.

Inilah fokus utama Jom Derma Darah Ungu, iaitu menjadi medan pertanyaan dan perbincangan serta penyampaian berkenaan kepentingan, sumbangan dan hasilan UiTM kepada kita.

Umum mengetahui bahawa, warna ungu sangat sinonim dengan UiTM. Ianya bermaksud kecemerlangan ilmu di peringkat global. Kita berpendapat, mahasiswa UiTM sewajarnya tersuntik sama dengan warna ini.

Darah ungu pula, secara konsepnya, merujuk kepada mahasiswa yang memiliki semangat cintakan UiTM yang tinggi. Kalau diselusuri sejarah, mereka yang 'berdarah ungu' kebiasaannya merupakan mahasiswa aktif dalam apa jua organisasi peringkat universiti terutamanya dalam menawarkan diri menjadi Pemimpin Mahasiswa (PM) di Minggu Destini Siswa (MDS) UiTM.

Mereka yang berdarah ungu juga kebiasaannya aktif berprogram dalam apa jua acara samaada di kolej, fakulti, universiti, mahupun bersifat kemasyarakatan dan antarabangsa.

Maka, secara tidak langsung, mereka yang berdarah ungu ini merupakan barisan hadapan (Frontliner) UiTM dalam menghadapi apa jua cerita dan situasi.

Adakah wujud bangsa UiTM?
Tidak, hakikatnya berdarah ungu tidak membezakan kita dengan anda. Ianya adalah analogi manifestasi cinta kami kepada universiti ini kerana hakikatnya, kita memiliki darah yang sama, berpijak pada bumi yang sama, serta bernafas pada udara yang sama.
Istimewanya kami, adalah kerana masih ada UiTM untuk Melayu dan Bumiputera.

Justeru, kita bersedia untuk menderma darah ungu, kepada yang merasakan perlu. ‪#‎SebarkanSemangatUiTM‬, agar setiap daripada kita, warga UiTM seluruhnya, memiliki semangat cintakan Agama, Bangsa dan Tanah air.

Kita benarkan sesiapa yang berniat untuk turut sama dalam menyebar dan menderma untuk terus berkongsi nasihat dan pesanan ikhlas daripada ‪#‎UiTMFrontliner‬ ini.

Kita ingin tegaskan, kita tidak pernah anjurkan sentimen perkauman. Apa yang kita nasihatkan, adalah untuk kita sama sama kekalkan kemakmuran.

InsyaAllah.
Shukri Shuhaimee.

#SebarkanSemangatUiTM
#JomDermaDarahUngu
#UiTMFrontliner






---

Coret akhir : Kenapa UiTM dihatiku?

"Pedulilah, dah habis belajar dah, tak payah fikir, yang penting dah kerja".

"Alah, aku bukan budak UiTM, nak sibuk buat apa?".

"Kita baru masuk UiTM, camne nak ada jiwa, senior pun buat bodoh je".

Sahabat yang budiman, kemudian kita tanya pula, dengan lambakan pelajar bijak luar biasa, juga yuran pengajian yang semakin mahal di IPT swasta, ke mana pilihan yang kita ada?

Kita perlu tahu, kalau bukan kita yang belajar di sini, mungkin adik kita yang bakal mencari rezeki. Atau mungkin juga jiran kita yang cemerlang tapi kewangan tidak mencukupi. Mana tahu zuriat kita yang amat memerlukan UiTM suatu hari nanti.

Kerana itu, kita bersedia 'menderma darah ungu' agar setiap yang berhak; Melayu dan Bumiputera turut merasai kerisauan andai bumi ini tidak lagi di situ.

Setiap warga UiTM perlu ada rasa kecintaan yang sama, kerana universiti ini bukan sahaja tempat menuntut ilmu, bahkan ia pusat kita berukhwah seluruh penjuru. Tiada puak JDT, Red Warrior atau Seladang, yang wujud hanya Harimau Malaya.

Kesatuan hati dan jiwa kerana kita semuanya sama; hamba.

Tekuni jati diri yang terselam pada Usaha, Taqwa, Mulia. Kelak kita takkan merasa sia-sia berjuang pertahankannya.

Tuhan takkan ubah nasib kita, kalau kita sendiri tidak berusaha mengubahnya. Dan UiTM lah usaha kita mengubah nasib kita.

Kita tidak hidup selamanya, tapi dengan izin Tuhan, UiTM perlu terus ada. Moga jadi asbab kepada kelangsungan agama, bangsa dan negara.

Konklusi pada coretan akhir ini,
Kita tegaskan, kita tidak pernah minta pergi kacau 'periuk nasi' di rumah jiran tepi. Kita cuma minta kita jaga 'periuk nasi' keluarga di 'dapur' kita sendiri.

Hanya dengan sematan UiTM Dihatiku sahaja kita dapat pertahankan apa yang memang milik kita.

InsyaAllah.

Shukri Shuhaimee.

#SebarkanSemangatUiTM
#JomDermaDarahUngu
#UiTMFrontliner



-----

UiTM adalah ruang untuk anak bangsa berpeluang kembali menyumbang.

Sahabat yang budiman, setahun dua menuntut di bumi ungu, pasti sekian banyak program dan aktiviti yang telah kita lalu. Senaraikan sahaja program berbentuk apa, semuanya sama ada bersikap lokal atau global, berhasil kerana kewujudan institusi ini dahulu.

Waima projek kelas atau ceramah agama, kempen kesihatan atau bakti siswa, seminar mahupun trip percutian semata, kebanyakkannya melibatkan hubungan dengan pihak luar. Di sinilah fungsi UiTM dalam membantu ekonomi masyarakat dalam usaha yang paling mudah untuk kita contohkan.

Ketepikan dahulu kebersamaan kita dalam program ini sama ada paksa rela atau suka suka, kita tidak nafikan, dihujung acara, masyarakat akan beroleh kebaikan hasil pembelajaran anak bangsa di peringkat apa jua. Nah, inilah sumbangan mahasiswa UiTM terhadap masyarakat yang mendambakan kemajuan arus semasa.

Kita mohon jangan labelkan perjuangan darah ungu ini sia-sia, selagi kalian tidak pernah menguruskan 4000 kemasukan anak bangsa yang pelbagai kasta.

Kita mohon jangan jatuhkan semangat ungu, selagi kalian tidak pernah turun ke lapangan dan melihat depan mata betapa sakitnya masyakat kita tanpa ilmu.

Kita minta kalian jangan cakap sembarangan buat yang berdarah ungu likat, selagi kalian tidak berwalang hati melihat anak muda belum pandai niat fardhu Zohor walaupun keputusan ujian dunianya hebat.

Kita minta kalian jangan rendahkan perjuangan kami, mempertahankan hak yang nyata, setelah kalian berjaya merasai manisnya nikmat ilmu tapi tidak memikirkan kelangsungannya pula.

Jangan pentingkan diri. Berlapang dadalah bahawa kejayaan kita sebenarnya Tuhan rezekikan melalui universiti ini. Maka, kenapa sudah dirasai, kalian tutup sebelah mata pada apa yang akan jadi?

Pada yang diterima, kita perlu bersyukur, kerana bersama penerimaan kita itu terdapat permohonan yang tersungkur.
Pada yang sedang berkerjaya, kita perlu kembali menyumbang, kerana bersama kejayaan kita itu terdapat amanah untuk anak cucu yang akan datang.

Beri peluang kepada generasi seterusnya untuk kecapi apa yang kita telah lalui.

Kita tidak ajar orang untuk benci pada lain bangsa. Kita cuma mahu kita jadi lebih baik daripada mereka.

InsyaAllah.

Shukri Shuhaimee.

#SebarkanSemangatUiTM
#JomDermaDarahUngu
#UiTMFrontliner


---------

Hakikatnya, kita semua adalah Dyana Sofya. 

Jika kita tidak ambil ibrah pengajaran daripada apa yang terkisah. 
Terus-terusan mencemuh tanpa justifikasi yang kukuh.
Membuta-tuli mengata tanpa sedikitpun dilapik fakta.
Kita bisu seribu kata bila hak kita dinoda.

Sahabat yang budiman, kita tegur Dyana Sofya. Tapi kita tidak membenci dia. Noktah.

Kita tegur kerana dia lupa. Jadi kita akan selalu ingatkan.

Bahawa, menjadi warga UiTM tidak menjumudkan arah sokongan. Bahkan tidak membantutkan nafas demokrasi dalam perjuangan.

Di UiTM, kita tidak diberi gred A walau dalam subjek terpaling suka, jika bapa kita menyokong UMNO dulu, kini, dan selamanya.
Kita tidak digagalkan ujian, andai kita sekeluarga damai bertarbiyah bawah panji PAS yang kehijauan.
Malahan kita tidak ditendang keluar, diberhentikan hanya kerana kita anak pengundi PKR.

Tapi ianya hanya akan kekal selagi hak kita sebagai Melayu dan Bumiputera tidak dipersia!

Kita berjaya dalam peperiksaan, hanya jika kita daya berusaha berlebihan. Fakta.

Man jadda wajada. Setiap yang berusaha, pasti akan berjaya.

Maka, usaha kita masih setia, terus setia dan sentiasa setia untuk 'menderma darah ungu' pada semua. Ya, SEMUA.

Agar hasilnya kita berjaya menyebarkan semangat UiTM. Yang melangkaui janji politik atau fanatik. Menyemai sikap yang baik-baik, serta membuang persepsi yang pelik-pelik.

Kita bersedia sentiasa. InsyaAllah.

#SebarkanSemangatUiTM
#JomDermaDarahUngu
#UiTMFrontliner



-----


Jangan baling batu, sembunyi tangan.

Kita tegur Dyana Sofya, tapi kita tak benci dia. Fakta.

Sahabat yang budiman, menegur jangan sampai menghina. 
Kita gagaskan, kalau kita sekadar marah, dan mengutuk tanpa arah, ketahuilah bahawa tindakan itu salah.

Semangat UiTM yang kita bawa, bersifat ummah. Kita di-asuh agar menghormati setiap peribadi, tidak bersikap negatif dan penting diri. Kita di-akar-kan bahawa Melayu itu sopan dan bijak menyantuni. Itu sebenarnya teras pada darah ungu kita.

Usah sekadar melaungkan tanpa makna.
Menyokong jangan sampai sombong.
Mendokong jangan sampai terpesong.

Ketahuilah perjuangan kita. Bukan mengikut tanpa tujuan, kelak sesat dihujung jalan.

Perjuangan UiTM yang kita usulkan bertitik mula daripada diri kita.
Hargai nikmat yang Allah pinjamkan pada kita, iaitu memiliki sebuah universiti bangsa.

Bagaimana mahu menghargai nikmat ini?

Kita usulkan dengan berusaha jadi lebih baik dalam setiap tindakan, agar pihak luar tidak punya sebab untuk mencela universiti warisan. 
Hargai dengan berusaha memenuhi tuntutan kuliah, hargai dengan aktif berorganisasi, hargai dengan menghadiri program yang dianjurkan, hargai dengan mencipta kejayaan tersendiri.

Biar kita bodoh, tapi jangan malas. Kerana malas itulah kunci kelemahan anak bangsa.

Maka, dengan itu, kita dengan rasa penuh hikmah, sama sama ingin menyebarkan semangat UiTM pada setiap ummah dengan niat ukhwah.

Kita bersedia "menderma darah ungu".

Agar kita semua tahu, mengapa UiTM ini sentiasa dihatiku.

InsyaAllah.

#SebarkanSemangatUiTM
#JomDermaDarahUngu 
#UiTMFrontliner


-------

 Rentetan Puisi Dyana Sofya yang disebarkan merata.

Sejujurnya, kita tidak sangka penangan "UiTM Dihatiku" sangat terkesan pada banyak jiwa. Dengan izin, saya benarkan puisi ini dikongsi dan disebarkan atas paksi, nasihat dan pesanan penuh hikmah kepada Dyana Sofya. Kita juga benarkan puisi ini digunakan untuk membangkitkan semangat ungu dalam diri kita yang bergelar warga UiTM, walaupun tanpa kredit pada kita, kerana niatnya bukan mencipta nama bahkan kita bukan siapa siapa.

Justeru, kita juga berlapang dada dengan setiap pandangan yang tidak senada dengan kita. Kerana manusia itu pelbagai, maka majmuk sikap dan rasa. Mana yang baik, dijadikan teladan, mana yang jelik kita jadikan sempadan. Kita pilih untuk kekal teguh dengan pendirian kita. Kita yakin ramai yang bersama. InsyaAllah.

Kita juga bersedia dilabel dengan pelbagai gelaran. Namun, ingin kita tegaskan, puisi ini BUKAN berirama politik, mohon dibaca, difaham, dihadam dan kemudian baru kita buka ruang untuk berbincang bukan untuk menentang.

Kita juga menyeru seluruh warga UiTM, termasuklah mahasiswa, pensyarah, kakitangan dan pentadbir, untuk terus membaiki kualiti universiti kita dalam limpahan kuantiti yang ada. Kita perlu keluar dari zon selesa dan menjadi lebih baik kerana peluang yang kita terima. Agar UiTM ini tidak diperlekeh oleh mereka di luar sana.

Buat penyokong dan pendokong semangat ungu, hati hati dalam menyampaikan rasa. Usah dibalut jiwa dengan kebencian atau kemarahan. Kita anak muda, perlu lebih berhemah dan berhikmah. Sekali lagi kita tegaskan, puisi ini sama sekali TIDAK mengandungi kebencian. Kita karang dengan penuh rasa ingin mengingatkan, bahawa UiTM ini telah banyak berjasa. Sebelum kita menyerang, berhenti sejenak dan tanya diri, apa sumbangan kita pada universiti warisan ini.

Teruskan berkongsi. Kita sehati dalam menentukan destini.
Buat benteng hadapan UiTM, perjuangan kita sebenarnya baru bermula.
InsyaAllah.

Shukri Shuhaimee.

#SebarkanSemangatUiTM
#JomDermaDarahUngu
#UiTMFrontliner


-------


Dyana Sofya. 
Terkenal sekelip mata.
Langsung jadi kegilaan sebilangan anak muda.
Sedang mencicip asam garam politik Malaysia.
Jangan sampai mendabik dada.

Dyana Sofya.
Hari ini kita pesan semua.
Boleh bawa segala usul yang ada.
Bisa saja perkenal undang undang baru dunia.
Namun hudud adalah terpaling utama.
Kenapa jadi perjuangan kedua?

Dyana Sofya.
Cantik, bijak, berjaya, sayang belum jauh jalannya.
Segala jenis perubahan boleh kau bawa.
Namun jangan diusik keramatnya UiTM tercinta.
Cukuplah Melayu dan bumiputera.
Usah diberi pada yang bukan bangsa.

Dyana Sofya.
Hati hati mencipta nama.
Ada yang memuja, teruja dan mengejar.
Jangan lupa, ada yang bersiap siaga.
Kerana terobek hati UiTM, hati kami terluka jua.

Dyana Sofya.
Ini melodi yang bergema. 
Dalam jiwa mereka yang darah merahnya ungu sama.
Kau boleh pilih segala macam cerita.
Namun jangan diinjak universiti bangsa.

Dyana Sofya.
Selamat berjuang dan dijulang.
Benteng pertahanan akan kami pasang.
Selayaknya kami yang pandai mengenang.
Melapisi bumi UiTM yang bukan calang.

Dyana Sofya.
UiTM Sentiasa di hati kita. Kalau awak lupa, kita berkenan nak ingatkan semula.


-----

No comments :

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...